Thursday 31 January 2013

Syukur

"Kring kring " .. Di kala kelam kabut untuk bersiap keluar , kedengaran telefon di atas meja bergetar mengikut irama nada dering . Suara seorang ibu kedengaran , seakan-akan meminta pertolongan . Demi seorang anak , air muka ditebalkan . Permintaan si ibu adalah demi anaknya , anak yang ingin menyambung persekolahan di sekolah yang baru dan memerlukan bantuan . Bantuan apakah ? wang ? bukan , kerana kami juga dari keluarga sederhana , makan minum , sama seperti insan lain .


Almari pakaian diselongkar . Baju uniform berwarna hijau seakan-akan "menyorokkan" diri setelah kira-kira 3tahun disimpan . Uniform yang pernah  disarungkan di sekolah menengah sewaktu menyertai pasukan beruniform kadet remaja sekolah . Aku berfikir sejenak . Jika anda insan yang hanya menjadikan baju terpakai tersebut sebagai kain buruk di rumah , masih ada yang megharapkan untuk menerima "hadiah" baju terpakai itu kerana kesempitan wang . Mungkin sesetengah anak muda di luar sana terlampau dilimpahi dengan kemewahan , pulang ke rumah hanya perlu meminta wang dari si ayah untuk membeli barang keperluan . Namun , bagi sesetengah keluarga ,  membeli uniform yang boleh mencecah harga ratusan ringgit itu bukanlah hanya perlu ke bank dan mengeluarkan wang untuk perbelanjaan . Makan minum anak perlu dikira , kos sara hidup yang belum tentu mampu ditampung oleh wang yang ada perlu dihitung .

Setelah bertemu si ibu dan meghulurkan uniform tersebut , si ibu memaparkan wajah ceria , mungkin lega anaknya tidak akan dimarahi guru kerana tidak berpakaian lengkap pada hari kokurikulum , mungkin juga senang hati apabila si anak dapat menyarungkan pakaian seperti rakan-rakan yang lain . Itulah pengorbanan seorang ibu , memastikan si anak dapat hidup senang walaupun terpaksa mengorbankan maruah diri .



وَاللَّهُ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالأبْصَارَ وَالأفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu apa pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan, dan al-af’idah (akal dan hati) agarkamu bersyukur.” (Surah an-Nahl, 16: 78 ) 

Sekian sahaja coretan pada kali ini . Sesungguhnya , aku sendiri merasakan diriku juga tidak kurang alpanya . Kadang-kadang , terlalu leka dengan nikmat dunia hingga lupa untuk memanjatkan kesyukuran kepada Allah . Namun , kisah tadi begitu menyentuh hati dan membuatkan aku berfikir sejenak dengan nikmat yang telah Allah berikan . Walaupun tidak dilahirkan dalam keluarga berada , namun masih ada insan yang hidup di dalam serba kekurangan . Terima kasih , di atas segala nikmatMU Ya Allah .


Assalamualaikum .